KEPIMPINAN : ANTARA TAKLIF DAN TASYRIF

Friday, October 31, 2008

Dalam kerancakan pemilihan kepimpinan hari ini, kita hendaklah menyedari bahawa kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan ( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ). Ini perlu dihayati dan dimuhasabahkan oleh kesemua bakal – bakal pemimpin.

Sebenarnya, terdapat dua perbezaan sikap yang ketara antara tasyrif dan juga taklif:

1. Orang yang menganggap kepimpinan adalah kedudukan dan tasyrif baginya akan berkeinginan kepada jawatan tersebut tanpa berfikir ia akan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang terpikul dibahunya dengan jawatan tersebut. Dia berbangga bahawa dia seorang berjawatan tinggi tanpa dia merasai bersalah dan gerun bahawa tanggungjawab yang dibebankan keatas bahunya itu nanti akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan pada dirinya pada hari kiamat jika ia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

2. Manakala orang yang faham bahawa ia adalah taklif yang akan dipersoalkan pada hari akhirat, ia akan wara’ terhadap jawatan. Jika maslahah dan syura memutuskan, ia memegang jawatan ia akan bertanggujawab dan akan cuba melaksanakannya dengan besungguh-sungguh. Maka ia ambil dengan perasaan takut dan merasai muraqabah Allah s.w.t.Sewajarnya kita melihat kepimpinan bukanlah satu aset yang wajar dibanggakan, ada individu yang merasakan dirinya lebih daripada yang lain kerana jawatan yang disandang.

Sesungguhnya Islam memuliakan seseorang pemimpin dan mengajarkan konsep taat selagi mana tidak menyalahi syariat, namun pemimpin perlu sedar kemuliaan yang diberikan ini hendaklah disalurkan kepada jalan yang hak, tanpa penyalahgunaan dan pengabaian terhadap amanah.

Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah SAW awal-awal lagi memperingatkan umatnya dengan amanah kepimpinan ini. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghiffari berkata kepada Rasulullah:

"Apa tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi gabenor (pemimpin wilayah)?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya."( Riwayat Muslim )

Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikan. Islam mangajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan dan kapasiti yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya akan tetapi akan ditanya kelak ialah MENGAPA TIDAK BEKERJA MENUNAIKAN AMANAH.

Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang menggalas tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara perlu kepada pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai hadaf tidak akan terjadi kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah Ta’ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakal dan pohonlah bantuan daripada Allah SWT.

TSAQAFAH DAN MUWASOFAT NUQABA'

Thursday, October 16, 2008

Penguasaan nuqaba' terhadap cabang ilmu yang menjadi latar belakang dakwah dan tarbiyyah merupakan satu perkara yang amat penting dan menjadi landasan utama kepercayaan anggota usrah terhadap naqib mereka.

Para nuqaba mesti mengetahui dan meyakini bahawa apabila saf pimpinan memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengetuai usrah, hal itu merupakan satu kepercayaan yang besar. Oleh itu mereka hendaklah memiliki keyakinan diri dan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Untuk itu mereka mesti mempunyai kekuatan tsaqafah dan keperibadian. Mereka mesti tidak boleh dikalahkan oleh tekanan keilmuan yang cetek, lantaran mereka sebenarnya telah memiliki ilmu. Mereka mesti menyedari bahawa bidang pengajian dan takhassus mereka sebenarnya boleh diolah untuk manfaat usrah dan dakwah. Oleh itu, mereka hendaklah mempelajari kemahiran dan teknik memanfaatkan kepakaran dalam bidang pengajian untuk kepentingan dakwah mereka.

TSAQAFAH NUQABA'

Berikut disenaraikan beberapa rujukan bagi membantu mengatasi masalah ketidakyakinan kepada diri sendiri untuk mengendalikan usrah.

Al-Qur'an ... Naqib hendaklah tahu bacaan al-Qur'an yang betul. Mereka hendaklah mengetahui hukum tajwid yang minimum. Mereka sendiri hendaklah khatam al-Qur'an sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Tafsir al-Qur'an ... Naqib hendaklah mengetahui asas penghantar kepada al-Qur'an. Mereka bolehlah merujuk kepada buku Kunci Mengenal al-Qur'an tulisan Zulkifli Hj.Yusoff. Mereka juga perlu merujuk buku-buku tafsir yang lengkap huraiannya terhadap isi al- Qur'an. Buku yang dicadangkan ialah Tafsir Al-Azhar oleh Allahyarham Hamka atau buku Abr Al-Athir karangan Ustaz Ahmad Sonhadji.

Al-Hadith ...Setidak-tidaknya mempelajari kitab Hadith 40. Naqib perlu mengetahui maklumat yang minimum tentang pengantar kepada ilmu al-hadith. Buku yang boleh dirujuk ialah Pengantar Ulum al-Hadith oleh Dr. Subhi Salih. Cuba merujuk setiap hadith kepada setiap kitab muktabar seperti Sunan Sittah. Kebanyakan buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Sirah Nabawi ... Naqib dapat merujuk Fiqh As-Sirah oleh Said Ramadhan al-Buti atau Fiqh Harakah oleh Abdul Hadi Awang. Juga buku terbaru TG Nik Abdul Aziz tentang Rasulullah SAW.

Aqidah ... Elakkan diri daripada membincangkan aspek akidah seperti ilmu kalam dan falsafah secara mendalam. Sebaliknya firqah-firqah atau mazhab dalam Islam hendaklah mereka ketahui.Mereka boleh membuat rujukan kepada buku Aqidah Islamiyyah oleh Sayyid Sabiq atau buku Muqaddimah Aqidah Mukmin oleh Abdul Hadi Awang dan siri kitab-kitab aqidah ( Beriman..) yang ditulis oleh beliau.

Fiqh ... Mengetahui asas tarikh perkembangan hukum dalam Islam dan juga pengantar kepada ilmu fiqh. Sejarah Pembinaan Hukum oleh Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid boleh dijadikan bacaan Secara berterusan mempelajari kitab-kitab fiqh yang muktabar.

Tazkirah dan tazkiyyah an nafs ... Boleh rujuk kepada siri buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti Tazkiyyah Jiwa dan Nafsu, Air Mata di Mahsyar dan Mati: Satu Peringatan. Juga kitab Bidayatul Hidayah ( al Ghazali ).

Pembacaan terhadap sumber-sumber fiqh harakah merangkumi fiqh dakwah, fiqh tarbiyyah dan fiqh jihad dan siyasah mestilah dilakukan oleh para nuqaba.Secara berterusan para nuqaba mestilah juga membaca akhbar harakah dan juga perkembangan politik semasa dari blog-blog yang tsiqah.

Apa-apa yang dinyatakan di atas merupakan sumber minimum yang seharusnya dikuasai oleh para nuqaba' bagi melancarkan perjalanan usrah mereka. Pada masa yang sama, mereka hendaklah memiliki penguasaan dalam bidang ilmu dan alat yang lain seperti kenderaan dan ICT.

MUWASOFAT (CIRI-CIRI) NUQABA’

1. Mempunyai kadar minima tsaqafah nuqaba dan sentiasa mempertingkatkannya.

2. Memiliki keperibadian(syakhsiyyah) nuqaba' dan boleh menjadi qudwah yang baik.

- ibadah fardi

- akhlaq dan keterampilan

- public relationship (PR) yang baik

- interpersonal skill

3. Ada kemahiran tarbawiyah dan da'wiyyah:

- usul dan tarkiz tarbawiyyah

- usul dakwah- isti'ab dakwah

- pengendalian usrah berkesan

4. Ada kemahiran qiyadiyyah.

- menguasai ahli dengan wahdatul fikr dan amal

5. Ada kemahiran jama'iyyah.

- amal jama’iy- amal ijtima’iy

6. Ada kemahiran tanzimiyyah.

- pengurusan organisasi

Kelihatannya begitu sukar untuk mencari nuqaba’ yang memiliki ciri-ciri di atas. Namun itulah hakikat yang perlu dimengerti oleh mereka. Justeru itu, rekrumen nuqaba adalah satu ‘core business’ yang perlu diambil berat oleh jamaah.

Dilema seorang pentazkirah/penceramah/pembentang/penyampai/pendakwah

Saturday, October 4, 2008


http://disertasi.blogspot.com/

1) Firman Allah swt dalam surah al-Saff ayat 2 " Wahai orang-orang yang beriman, mengapa engkau berkata apa yang tidak engkau lakukan. Besar kemurkaan Allah ke atas mereka yang berkata apa yang tidak mereka lakukan". Mengikut Syeikh Abdullah Basmeih di dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman-ayat ini sempena sekumpulan pemuda Islam di zaman Nabi saw sebelum datangnya perintah jihad-mereka sanggup mati demi Islam. Tetapi apabila perintah jihad diturunkan, mereka tidak menunaikan apa yang mereka nyatakan sebelum ini.


2) Menjadi dilema kepada penjawat jawatan di atas, apabila kadangkala kita tidak beramal dengan apa yang kita sampaikan. Bahkan yang lebih menyedihkan apabila kebaikan yang kita seru kepada mad'u dan audien, tidak kita laksanakan, sebaliknya kejahatan yang ditegah supaya tidak menghampirinya, kita pula yang melakukan. Dan ini diingatkan oleh Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 44 " Adakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan, dan pada waktu yang sama kamu lupakan diri kamu sendiri, sedangkan kamu membaca al-Kitab, apakah kamu tidak memikirkannya?"


3) Yang biasa berlaku, kadangkala, mad'u dan audien yang mendengar pesanan kita berubah menjadi lebih baik, sedangkan kita sebagai penjawat jawatan di atas, tidak pun berubah. Hanya kerana kita pandai berceramah, bijak menyusun ayat dan perkataan, kita dihormati dan disanjung. Pada waktu yang sama, kita sendiri tidak berusaha memperbaiki diri sendiri. Pepatah Arab ada mengatakan " Perbaiki diri kamu, waktu yang sama serulah yang yang lain". Ini bermaksud proses pengislahan diri berjalan seiring dengan dakwah di jalan Allah.


4) Pesanan Sa'id Hawa di dalam kitabnya Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan-mengingatkan 3 ciri penting kepada seorang daie di jalan Allah. Yang pertama ikhlas, yang kedua sabar dengan gelagat mad'u dan yang ketiga beramal dengan apa yang disampaikan.

SEMUA MANUSIA ADIK-BERADIK


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.


"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam. "Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu.


Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t.


"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan. "Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.


"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.

Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w. "Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.


Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia". Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya.


"Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru

GERAKAN ISLAM TIDAK WAJAR MENGKHIANATI PERJANJIAN

"Pada hari Kami (Allah) bangkitkan pada setiap ummah seorang saksi ke atas mereka dari kalangan mereka sendiri, dan Kami (Allah) datangkan engkau (ya Muhammad) sebagai saksi ke atas mereka ini, Kami turunkan ke atas engkau al-Kitab (al-Quran) bagi menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah dan Rahmat serta khabar gembira bagi muslimin.


"Sesungguhnya Allah memerintah agar dilaksanakan keadilan serta melakukan kebajikan (ehsan), membantu kaum-karabat , dan menegah daripada kefasadan, kemungkaran dan kezaliman. Dia (Allah) mengajar kamu semoga kamu mendapat peringatan.


"Sempurnakanlah janji Allah, bila kamu berjanji dan jangan kamu merosakkan sumpah sesudah kamu memperkukuhkannya, padahal kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin (bagi sumpah tersebut), sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan."


"Dan janganlah kamu menjadi seumpama perempuan yang menguraikan tenunan selepas dia selesai memintalnya dengan kukuh, dan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeterai) di antara kamu, sebabkan adanya kumpulan lain yang lebih ramai daripada kumpulan itu, sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari Qiyamat, apa yang kamu berselisih padanya." Surah an-Nahl, ayat 89-91


Dalam ayat 89, Allah menjelaskan peranan kita, pendukung Islam, kita berperanan sebagai syahid (saksi) yang menjadi bench-mark yang menjadi rujukan pedoman kepada manusia sezaman dan setempat dengan kita, dan bench-mark yang menjadi pedoman rujukan kita pula adalah Rasulullah s.a.w sendiri.


Kita seakan-akan berperanan sebagai rumah-api (light-house) yang menjadi pedoman rujukan bagi mereka yang mungkin tersasar sesat dalam pelayaran di lautan luas , pada malam yang gelap. Secara prinsipnya kita mesti teguh di atas tapak nilai-nilai baik yang tidak berubah, walaupun gelora perubahan di lautan luas semakin menganas, kita tetap teguh sehingga kerana itulah kita mampu menjadi pedoman rujukan kepada mereka yang dikendung perubahan demi perubahan.


Allah juga memperingatkan tentang peranan al-Quran dalam kehidupan kita, kita akan mendapati pertunjuk daripada al-Quran dalam semua perkara, permasalahan dan keadaan. Walaupun ayat al-Quran yang sama, ia akan membawa pancaran intuisi yang sesuai dengan keadaan yang berbeza yang kita sedang hadapi.


Al-Quran memberi kita hidayah dengan suruh dan larang di dalamnya, dengan pengkisahan dan tamsilannya, dengan tafakkur dan limpahan pemahaman terhadap ayat-ayatnya.


Al-Quran membawa berita gembira tentang kemanisan hubungan kita dengan Allah, membawa berita gembira dengan balasan yang berlipat-ganda di atas iman dan amal kebajikan, berita gembira dengan kemenangan kita secara peribadi dan kelompok sekiranya kita bergantung kepada-Nya, berita gembira dengan sentuhan yang memujuk jiwa daripada jiwa ayat-ayatnya.


Al-Quran yang menjadi rujukan teratas kepada kita dalam semua segi, sebagai firman Allah pada ayat 10 surah as-Shura:


Dan apa juga perkara yang kamu semua berselisih tentangnya, maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah, demikianlah (kekuasaan) Allah, Tuhanku, kepada-Nya aku berserah, dan kepada-Nya lah aku merujuk kembali.


Dalam ayat 90, Allah menjelaskan konsep kebajikan yang perlu kita hayati dan jayakan di dalam kehidupan kita. Kita perlu menegakkan keadilan, menghayati sifat ehsan dalam semua perkara, membantu kaum-kerabat. Kita juga perlu berusaha mencegah kefasadan, kemungkaran dan kezaliman dalam semua aspek pada setiap peringkat. Semua tugasan ini perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim secara perseorangan, dan diusahakan di peringkat yang lebih luas secara berkelompok.


Inilah peranan yang menjadikan ummah pedoman rujukan kepada manusia lain. Kita patut berdiri tinggi dalam menjayakan tugasan-tugasan ini sehingga mampu dijadikan contoh-tauladan kepada manusia yang lain. Amalan kita sepatutnya lebih lantang dan jelas daripada perkatan-perkataan yang kita tuturkan sebagai polemik semata-mata. Firman Allah, maksudnya;


Oleh kerana yang demikian, serulah mereka (kepada keimanan), beristiqamah kamu (dalam melaksanakan tanggung-jawab agama) sebagaimana yang kamu telah diperentahkan, dan jangan kamu mengikut kehendak hawa-nafsu mereka, Dan katakanlah : "aku beriman dengan segala kitab apa yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintah supaya bertindak adil di antara kamu, Allah adalah Tuhan kami, dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu, tida pertengkaran antara kami dan kamu. Allah akan menghimpunkan antara kita bersama (selepas kematian untuk diadili) dan kepada-Nya lah tempat kembali." (Surah as-Shura. ayat 15).


Konsep dan amalan kebajikan pada tahap perseorangan dan masyarakat sangat-sangat ditekankan. Di waktu yang sama, kefasadan, kemungkaran dan penzaliman dalam semua rupanya hendaklah ditegah. Sekiranya dibentuk kerajaan, maka pemerintahan Islam jugalah akan berperanan sebagai Kerajaan Yang Berkebajikan., kerajaan yang menyubur perkara makruf serta mencegah kemungkaran. Allah memperingatkan kita agar kita tidak tergelincir daripada landasan dan tujuan ini.


Dalam ayat 91, Allah menjelaskan kepada kita peri mustahaknya kita berpegang kepada sumpah dan perjanjian yang telah kita capai kesepakatannya. "Perjanjian Allah ditafsir oleh ulama sebagai sumpah yang dibuat menggunakan nama Allah, nazar dan perjanjian sesama manusia yang seiring dengan kehendak syarak, Kita hendaknya sentiasa sedar yang Allah amat mengetahui segala semua gerak zahir dan gerak hati kita,


Dalam ayat 92, ulama tafsir mengatakan perbuatan perempuan itu adalah perbuatan yang bodoh, dan itulah perumpamaan orang yang ingin merubah sumpah-perjanjian dengan satu pihak kerana pertimbangan berdasarkan 'tawaran' dari pihak yang lain yang mempunyai keanggotaan yang lebih ramai.


Mungkin akan terdapat perselisihan dalam strategi di antara kita tentang kewajaran membatalkan sumpah-perjanjian itu, antara sokongan dan bangkangan, sehingga Allah menyebut yang Dia akan menerangkan perkara yang sebenarnya di Hari Akhirat kelak tentang apa yang diperselisihkan.
Tetapi tindakan membatalkan sumpah-perjanjian kerana terpesona dengan kelebihan angka anggota dan kelebihan kebendaan telah ditempelak oleh Allah, bilangan anggota dan kelebihan kebendaan lain itu adalah sebenarnya ujian kepada kita semada kita akan berjaya berpegang kepada sumpah-perjanjian yang telah kita ungkapkan atau kita akan kecundang kerana godaan-godaan kelebihan kebendaan.


Lihat bagaimana Allah dengan jelas mengajar supaya kita menjujung perjanjian dan kesefahaman yang telah dicapai, kita tidak akan mengkhianati perjanjian dan persefahaman,. Lihatlah firman Allah, maksudnya;


"Orang-orang yang beriman tetapi tidak berhijrah (ke Madinah), tiadalah kamu (Ya Muhammad) bertanggung-jawab mentadbir mereka sedikitpun, sehinggalah mereka berhijrah. Jika mereka (orang Islam yang belum berhijrah itu) memohon bantuan kamu dalam urusan agama, maka kewajiban kamu menolong mereka, kecuali terhadap kumpulan yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka7, Allah Maha Melihat apa-apa yang kau kerjakan(Surah al-Anfal, ayat 72).


Serangan terhadap pihak bukan Islam yang telah mempunyai perjanjian dengan pihak Islam dilarang walaupun orang-orang Islam di bawah penguasaan mereka itu telah meminta bantuan.
Pihak Islam hendaklah berusaha untuk mengislahkan keadaan dan hubungan di antara pihak penguasa bukan Islam dan orang-orang Islam di bawah penguasaan mereka.


Lihat bagaimana menariknya ulama tafsir memahami kepentingan pengajaran dalam ayat ini.
Lihatlah bagaimana Islam mengajar kita agar berpegang teguh kepada perjanjian selepas kita meterai perjanjian. Bagaimana mungkin pihak Islam mendahului pihak lain dalam mengkhianati kemuafakatan dan perjanjian.


Pihak Islam akan mengabaikan butir-butir sebarang perjanjian dan kesepakatan hanyalah selepas lain telah terlebih dahulu melanggar butir-butir perjanjian itu, sebagaimana perjanjian-perjanjian yang telah dibuat oleh Rasulullah dengan pihak Quraisy dan pengikut yahudi.

Lihatlah pimpinan Islam yang begitu 'principle-centered', yang tidak akan mengabaikan prinsip kesepakatan kerana dorongan perolehan duniawi. Allah memperingatkan kita tentang peristiwa Nabi Musa dan Nabi Harun, baginda berdua telah berdoa agar diruntuhkan pemerintahan kerajaan Firaun yang zalim.

Allah telah telah menurunkan wahyu yang doa mereka dimakbulkan, walaupun ulama tafsir mengatakan jarak masa baginda berdua berdoa dengan kehancuran kerajaan Firaun itu adalah 40 tahun.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya telah diperkenankan doa kamu berdua, maka beristiqamahlah dan jangan dituruti jalan orang-orang yang tidak berilmu." (Surah Yunus ayat 89).


Setelah Allah memperkenankan doa baginda berdua dan sebelum keruntuhan kerajaan Firaaun berlaku secara fizikalnya, Allah memperingatkan kedua Nabi ini supaya menghayati dua perkara asas yang sangat penting, iaitu;


1. Istiqamah dalam penghayatan agama dan kerja-kerja dakwah.
2. Jangan dituruti jalan pemikiran, jalan tindakan, jalan kemunasabahan yang didatangkan oleh orang-orang yang tidak berilmu.


Sekurang-kurang syarat ilmu itu ialah mengetahui yang kehidupan akhirat itu lebih utama daripada kehidupan dunia, perkiraan syarak lebih utama daripada jangkaan keuntungan dunia dan mempunyai keyakinan yang Allah lah yang akan menentukan segala sesuatu serta keredaan-Nya yang dicari.


Allah juga memperingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud;


"Taat (patuh kepada perentah Allah dan Rasul) dan perkataan yang makruf (lebih baik bagi mereka). Apabila telah tetap sesuatu urusan, maka jika mereka membenarkan (suruhan) Allah, itu adalah lebih baik bagi mereka. Apakah kiranya jika kamu menjadi pihak berkuasa, kamu akan berbuat bencana di muka bumi dan kamu akan memutuskan silaturrahim? (Surah Muhammad, ayat 21-22)


Sepatutnya penguasaan di muka bumi oleh pihak yang mempunyai kesedaran Islam bertujuan, sebagai firman Allah yang bermaksud;


"Orang-orang yang jika Kami (Allah) memberi keteguhan di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, membayar zakat serta menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar. Dan kepada Allah terserah akibat semua pekerjaan." (Surah al-Haj, ayat 41).


Allah telah memperingatkan kita dengan kisah Nabi Yusuf yang ketika dilantik menjadi penguasa di Mesir, baginda telah berdoa. Doa inilah sepatutnya dibaca oleh setiap muslim yang diangkat menjadi penguasa, sebagaimana lafaz yang disebut Allah dalam firman-Nya yang bermaksud;


"Wahai Tuhan, Sesungguh Tuan Hamba telah menganugerahi kekuasaan kepada hamba dan telah mengajar hamba ilmu mentakwil al-hadis. Tuan Hambalah yang menjadikan langit serta bumi, Tuan Hambalah Penguasa ke atas hamba di dunia dan di akhirat, wafatkan hamba sebagai seorang muslim dan masukkan hamba bersama golongan solihin". (Surah Yusuf, ayat 101).


Semoga kita mampu menjadi syuhada kepada manusia lain kerana keteguhan iman, keikhlasan niat dan kesungguhan penghayatan terhadap agama Islam