KRITERIA BAGI SEORANG AHLI GERAKAN

Friday, September 26, 2008

1. Salimul Aqidah


Aqidah yang bersih (salimul aqidah) merupakan sesuatu yang harus ada pada setiap muslim. Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah SWT dan dengan ikatan yang kuat itu dia tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan- ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam’ (QS 6:162).

Memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da’wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah Saw mengutamakan pembinaan aqidah, iman atau tauhid.


2. Shahihul Ibadah


Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul SAW yang penting, dalam satu haditsnya; beliau menyatakan:

’Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.’

Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah Rasul SAW yang bermaksud tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.


3. Matinul Khuluq


Akhlak yang kukuh (matinul khuluq) atau akhlak yang mulia merupakan sikap dan perilaku yang harus dimiliki oleh setiap muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah maupun dengan makhluk-makhluk-Nya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apalagi di akhirat. Kerana begitu penting memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah SAW diutus untuk memperbaiki akhlak dan beliau sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah di dalam Al- Qur’an, Allah berfirman yang bermaksud:

‘Dan sesungguhnya kamu benar- benar memiliki akhlak yang agung’ (QS 68:4).


4. Qowiyyul Jismi


Kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu ciri peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani bermaksud seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan fizikal yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizikal yang sihat atau kuat, apalagi perang di jalan Allah dan bentuk- bentuk perjuangan lainnya. Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi, dan jangan sampai seorang muslim sakit-sakitan. Kekuatan jasmani juga termasuk yang penting, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Mu’min yang kuat lebih aku cintai daripada mu’min yang lemah’ (HR. Muslim).


5. Mutsaqqoful Fikri


Intelek dalam berfikir (mutsaqqoful fikri) merupakan salah satu ciri peribadi muslim yang penting. Kerana itu salah satu sifat Rasul adalah fatonah (cerdas) dan Al-Qur’an banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah yang bermaksud:

Mereka bertanya kepadamu tentang, khamar dan judi. Katakanlah: ‘pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.’ Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih dari keperluan.’ Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir (QS 2:219).

Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang harus kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan aktiviti berfikir. Bagi seorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Bisa kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu. Oleh kerana itu Allah mempertanyakan kepada kita tentang tingkatan intelektual seseorang sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Katakanlah:samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran (QS 39:9).


6. Mujahadatun Linafsihi


Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatun linafsihi) merupakan salah satu keepribadian yang harus ada pada diri seorang muslim, kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada manakala seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsu. Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus diupayakan tunduk pada ajaran Islam, Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud:

Tidak beragama seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam) (HR. Hakim).


7. Harishun ‘ala Waqtihi


Pandai menjaga waktu (harishun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini kerana waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT banyak bersumpah di dalam Al-Qur’an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya. Allah SWT memberikan waktu kepada setiap manusia dalam jumlah yang sama, Yakni 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan ada juga manusia yang rugi. Oleh itu tepat sebuah seruan yang menyatakan:


Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.’

Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi. Oleh kerana itu setiap muslim amat dituntut untuk menguruskan waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tak ada yang sia-sia. Maka diantara yang disinggung oleh Nabi SAW adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, yakni waktu hidup sebelum mati, sehat sebelum sakit, muda sebelum tua, senggang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.


8. Munazhzhamun fi Syu’unihi


Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur’an maupun sunnah. Oleh kerana itu dalam hukum Islam, baik yang terkait dengan masalah ubudiyah maupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya. Dengan kata lain, suatu urusan dikerjakan secara profesional, sehingga apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian darinya. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban, adanya pemfokusan dan berpengetahuan merupakan diantara yang mendapat perhatian secara serius dalam menunaikan tugas-tugasnya.


9. Qodirun ‘alal Kasbi


Memiliki kemampuan usaha sendiri atau yang juga disebut dengan mandiri (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya bisa dilaksanakan manakala seseorang memiliki kemandirian, terutama dari segi ekonomi. Tak sedikit seseorang mengorbankan prinsip yang telah dianutnya kerana tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi.

Oleh itu peribadi muslim tidaklah mesti miskin, seorang muslim boleh saja kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia mampu menunaikan haji dan umrah, zakat, infaq, shadaqah, dan mempersiapkan masa depan yang baik. Oleh kerana itu perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Qur’an maupun hadits dan hal itu memilik keutamaan yang sangat tinggi. Dalam kaitan menciptakan kemandirian inilah seorang muslim amat dituntut memiliki keahlian apa saja yang baik, agar dengan keahliannya itu menjadi sebab baginya mendapat rezeki dari Allah SWT, kerana rezeki yang telah Allah sediakan harus diambil dan mengambilnya memerlukan skill atau ketrampilan.


10. Naafi’un Lighoirihi


Bermanfaat bagi orang lain (nafi’un lighoirihi) merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim. Manfaat yang dimaksud tentu saja manfaat yang baik sehingga dimanapun dia berada, orang disekitarnya merasakan keberadaannya kerana bermanfaat besar. Maka jangan sampai seorang muslim adanya tidak menggenapkan dan tidak adanya tirák mengganjilkan. Ini bermaksud setiap muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berupaya semaksimum untuk bisa bermanfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai seorang muslim itu tidak bisa mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya.

Dalam kaitan inilah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain (HR. Qudhy dari Jabir).

Demikian secara umum ciri -ciri seorang muslim yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan hadits, sesuatu yang perlu kita selaraskan pada diri masing-masing.




Apa itu Naqib serta peranannya?

Wednesday, September 17, 2008


Apa itu Naqib serta peranannya?
Oleh Ybhg. Ustaz Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi


Naqib ialah individu yang berperanan mengendali segala aktiviti ahli Usrah (mad'u) di bawahnya agar dapat melahirkan insan yang berkualiti dalam segala aspek kehidupan.

Kredibiliti Naqib Sebagai Faktor Yang Menjayakan Usrah.

Walau bagaimanapun kejayaan usrah banyak bergantung kepada kredibilti seorang naqib yang memenuhi kriteria sebagai seorang naqib. Naqib sebagai fasilitator, sebagai kaunselor, sebagai ibu, sebagai bapa, sebagai biro pengaduan awam, sebagai sahabat, sebagai pengurus, sebagai pembimbing. Kerana ia bukan sahaja orang yang berjumpa secara formal tetapi juga secara tidak formal. Naqib bukan sahaja orang berjumpa seminggu sekali atau dua kali seminggu dalam majlis usrah, malahan lebih daripada itu yang menjangkau masa dan sempadan.


Ciri-Ciri Naqib Yang Berkaliber:

1. Naqib mesti memahami konsep usrah dan perlaksanaanya. Apabila naqib memahami konsep ini barulah usrah dapat melahirkan out put yang baik. Sekiranya seorang yang menjadi naqib ia sendiri tidak memahami apakah pengertian usrah. Atau pun ia sendiri tidak pernah melalui program usrah. Apa akan terjadi dengan usrah yang dibawa. Oleh kerana ia tidak memahami konsep usrah maka ia akan bawa usrah seperti ceramah, kuliah, membaca kitab kuning. Ia tidak boleh membawa usrah mengikut kehendak jamaah dan boleh dikaitkan dengan jamaah dan isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan untuk mengukuhkan jamaah. Apabila ia memahami konsep usrah maka kesan usrah dapat dilihat. Banyak perkara kelemahan dalam jamaah boleh diatasi. Misalnya ahli usrah lemah dari sudut ukhwah maka ia memberi penekanan dalam usrah mengenai kepentingan ukhwah begitulah seterusnya. Semuanya ini tidak akan dapat dihasilkan sekiranya naqib tidak faham konsep usrah dan tanggungjawab beliau sebagai seorang naqib. Seperti pepatah Arab menyebut “Orang yang faqir ia tidak boleh memberi apa-apa”.


2. Memahami tasawwur Islam dan gerakan. Naqib/ah mesti memahami Islam dan dasar perjuangan . Naqib mesti memahami Islam dari sumber yang sejati. Kerana Islam ialah suatu peraturan yang meliputi semua lapangan hidup, Islam merupakan negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam merupakan kebudayaan, undang-undang atau ilmu pengetahuan dan kehakiman. Jangan di bawa perkara khilafiah dalam jamaah kerana ini akan membawa perbalahan sesama sendiri. Kefahaman dan keseragaman bertindak dengan ilmu akan memudahkan untuk bertindak. Oleh itu sekiranya seorang naqib yang tidak mempunyai syarat-syarat yang berkenaan akan berhadapan dengan berbagai kesusahan dari kalangan mereka yang berbagai jenis manusia dan kedudukan. Memahami hati budi orang bawahan dan ini yang perlu diberi penekanan dalam usrah. Jika ahli usrah orang kedekut perbanyakkan hal-hal dan kemuliaan sifat pemurah. Sekiranya mereka orang yang penakut, berikan keutaaman tentang kelebihan berjihad di jalan Allah. Sekiranya anak buah orang yang tidak istiqamah maka terangkan kelebihan orang yang tetap pendirian dan balasan orang tidak tetap pendirian.


3. Ikhlas dalam amal sebagai seorang naqib. Satu perkara yang senang disebut tetapi sukar dilaksanakan ialah ikhlas dalam tindakan dan amal. Perkara inilah yang menjadi kekuatan dan ketahanan kepada seorang naqib. Apabila ia berjaya melazimkan dirinya dengan sifat ini maka ia akan mendatangkan natijah yang baik kepada gerakan Pas. Hatinya tidak ada yang lain melainkan untuk melihat Islam berdaulat. Mengikhlaskan niat kerana Allah. Hati yang tidak tulus tidak bermakna ketika datang kedalam majlis usrah. Hati yang kotor juga tidak boleh mengeluarkan kesan yang baik kepada usrah.

Firman Allah swt . Maksudnya : Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuknya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan solat serta menunaikan zakat dan demikian itulah agama yang benar (Al-Bayyinah:5)

Sabda Rasulullah saw
إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرء ما نوى
Maksudnya: “ Sesungguhnya setiap amalan dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang itu apa yang diniatkan ”


4. Iman yang mendalam. Keyakinan hanya dengan Islam, sekiranya mempunyai ilmu dan kefahaman tetapi iman yang nipis dia tidak boleh memberikan apa-apa kebaikan untuk perjuangan. Keimanan yang mantap sahaja akan membolehkan ia menghadamkan fikrah perjuangan Islam kepada anak buahnya. Kerana kekuatan jamaah Islam terletak kepada kekuatan iman yang sejati dan mendalam. Perjuangan tanpa iman yang sejati akan gugur dipertengahan. Bagaimana seorang naqib boleh menerapkan iman kepada anak usrahnya sekiranya beliau masih nipis Iman. Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana Iman yang mantap menyebabkan para sahabat sanggup sehidup semati. Contohnya ketika baginda berhadapan dengan tentera Ahzab, baginda sudah mempunyai cita-cita untuk menawan Rom dan Parsi. Ini satu contoh bagaimana iman yang mantap telah memberi motivasi kepada baginda untuk menaikkan semangat yang waja di kalangan para sahabat. Firman Allah SWT Bermaksud : “ Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera ahzab, berkatalah mereka: “Inilah yang telah dijanjikan kepada kamioleh Allah dan RasulNya, dan benarlah (apa yang telah dijanji oleh) Allah dan RasulNya” dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat itu) tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan dari mereka bulat-bulat kepada Allah .” (Al-Ahzab: 33:22)


5. Memahami organisasi jamaah. Naqib yang tidak memahami organisasi dan tabiat jamaah ia hanya bercakap atas awan. Tidak berpijak kepada bumi yang nyata. Usrah bukan teori tetapi diiringi dengan praktikal. Sekiranya naqib tidak melibatkan diri dengan Pas ia tidak akan sampai kemana arah perbincanganya. Oleh itu naqib kena memahami struktur organisasi Pas. Jangan seorang naqib tetapi ia sendiri tidak melibatkan dalam oragnisasi pas, ini memumkinkan ia akan membawa ahli jamaah keluar daripada landasan fikrah jamaah. Bagaimana mungkin ahli usrah hendak melibatkan diri dalam pilihanraya sekiranya naqib sendiri tidak terlibat dalam pilihanraya. Bagaimana jamaah hendak berkembang jika naqib sendiri tidak membawa ahli untuk beriltizam dengan jamaah.


6. Mengeratkan jalinan ukhwah. Naqib perlu melakukan program yang boleh mengeratkan hubungan persaudaraan seperti menziarahi ahli yang sakit atau ditimpa musibah,mengucap tahniah kepada kepada anggota yang berjaya, menolong mereka yang memerlukan, mengucap takziah atas kematian, menghulurkan bantuan kewangan, memberi hadiah sempena hari sahabat mendapat anak atau harijadi .Sabda Rasulullah SAW
تهادوا تحابوا
Bermaksud : “ Berilah hadiah nescaya engkau dikasihi ” Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : Allah akan sentiasa dalam (menunaikan) keperluan hamba selagi hamba itu dalam (usaha menunaikan) keperluan saudaranya.


7. Perbanyakkan amalan fardi. Sebagai seorang naqib sudah tentu bebanan dan tugas yang terpaksa dipikul. Oleh itu naqib memerlukan kekuatan rohani agar kita tidak terpesong daripada landasan perjuangan yang telah digariskan oleh jamaah. Apabila kita mempunyai benteng pertahanan ini maka ia akan menjadi asas yang kukuh untuk kita istiqamah dalam perjuangan. Maklum sahajalah perjuangan Pas yang mempunyai rintangan yang banyak dan banyak pula karenah anak buah maka sudah tentu kita memerlukan kekuatan rohani yang kuat. Oleh itu kita kena menjaga ibadat dengan baik, berzikir dengan banyak, berdoa yang ma'thur, beristighfar kepada Allah dan bersalawat kepada junjungan besar nabi Muhammad saw. Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar RA
حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا
Bermaksud “ Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dihadapan Allah SWT ”


8. Menunjukkan suri teladan yang baik. Naqib sebagai role model dan diperhati oleh anak buah . Syaksiah dan tingkah laku naqib sering menjadi ikutan dan bualan. Thiqah di kalangan anak buah perlu bagi menjayakan satu usrah. Naqib kena pastikan ia lebih baik daripada anak buah. Samaada dari segi pakaian, percakapan, tingkahlaku, pergaulan, sikap, hal ehwal keluarga, komitmen kita dalam jamaah seperti mesyuarat, menghadiri program jamaah, penglibatan anak-anak kita dalam jamaah semuanya menjadi tontonan di kalangan semua ahli usrah. Firman Allah SWT Bermaksud : “ Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan sedang kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir ”. Al-Baqarah:44


9. Benar Naqib mestilah benar di dalam niat, perkataan dan pekerjaannya jangan sekali-kali ada penipuan atau pendustaan. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Sekiranya naqib tidak benar dalam ucapan dan tindakan maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada usrah yang dipimpin Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : “ Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya sifat kebajikan itu membawa ke syurga. Seorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah ia dicatat disisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa kepada neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta ”.


10. Sabar. Tanpa sabar naqib tidak dapat mencapai target yang dicita-citanya, kerana kerja membentuk manusia bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan satu kesabaran yang padu serta himmah yang tinggi untuk melaksanakannya. Mesti sabar atas karenah ahli usrah yang berbagai ragam dan tindakan kesabaran sahaja yang akan boleh menjayakan perlaksanaan usrah Firman Allah SWT Bermaksud : “ Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami ketika mereka sabar ”. As-Sajadah:24.

11. Tawaduk. Sifat ini orang ramai lebih senang untuk menerima dan mendengar nasihat atau percakapan kita. Sifat takabur menyebabkan kita terhijab dari kebenaran dan rahmat Allah untuk sampai ke hati manusia. Sifat tawaduk menyebabkan orang lain akan tertarik dengan apa yang kita sampaikan. Seorang naqib yang mudah bergaul dan tidak sombong dengan ahli usrah akan menambahkan keakrabannya antara mereka. Seorang naqib hendaklah terlebih dahulu menegur ahli usrahnya bukan sebaliknya, supaya menampakkan sifat tawaduk
Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : “ Tidak akan memasuki syurga sesiapa dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbur ” Riwayat Muslim

12. Pemurah. Seorang naqib mesti jangan kikir. Sifat kedekut akan menjauhkan ikatan ukhwah. Biasakan untuk menghulur kepada mereka yang berhajat. Sentiasa memberi keutamaan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Sifat pemurah ini akan membuahkan natijah yang baik. Sekiranya anak buah usrah saudara orang yang kikir maka latih dan tunjukkan kepada mereka kebaikan orang yang pemurah melalui amalan yang saudara tunjukkan. Firman Allah SWT
ومن يوق شح نفسه فأولئك هم المفلحون
Bermaksud “ Dan siapa yang dipelihara daripada tabiat bakhilnya mereka itulah orang-orang yang berjaya ” Al-Hasyr, 59:9 Sabda Rasulullah SAW Bermaksud : “ Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua Malaikat lalu seorang darinya berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti kepada sihamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala Malaikat yang kedua berdoa: Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini ”.


13. Suka menolong (ringan tulang). Saudara menampakkan kepentingan mereka melebihi daripada kepentingan diri saudara. Secara tidak langsung akan menambahkan ikatan kepercayaan di kalangan orang bawahan. Apabila anak usrah melihat saudara orang yang ringan tulang untuk menolong maka secara tidak langsung akan memberi kepercayaan yang lebih kepada saudara. Peristiwa yang ditunjukkan oleh nabi SAW dalam peperangan Khandak memberi kesan yang mendalam kepada pengikut nabi kerana melihat baginda turut serta menggali parit.


14. Bijak bergaul. Seorang naqib yang baik ia akan bermuayasyah (hidup) dengan ahli usrah. Tidak banyak protokol. Senang di bawa berbincang di kalangan anggota. Jangan ada pilih kasih di kalangan anggota sehingga mereka terasa tersisih daripada kumpulan usrah.


Peranan Dan Tanggungjawab Naqib :

1. Mereka perlu menyedari bahawa mereka adalah pemimpin dan pendidik kepada kumpulan usrah. Dengan itu mereka perlu menunjuk suri teladan yang baik kepada ahli usrah.

2. Berkewajipan menyalurkan ilmu dan mendidik anggota usrah dalam bidang agama, fikrah jamaah.

3. Memastikan kandungan usrah disampai mengikut kehendak usrah dan jamaah.

4. Memastikan perjalanan usrah seiring dengan pembinaan jamaah dan organisasi.

5. Memupuk ukwah di kalangan anggota samaada di dalam usrah atau diluar.

6. Menggalakkan mereka supaya melakukan amal ibadah sunat seperti puasa sunat, solat sunat dan sebagainya.

7. Sentiasa menggalakkan ahli usrah mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi terhadap Islam dan sanggup melakukakan kerja-kerja amal Islami.

8. Naqib mesti menunjukkan kesungguhan di dalam satu kerja jamaah supaya ia menjadi contoh kepada anak usrahnya seperti menghadiri mesyuarat, program jamaah, program pilihanraya dan sebagainya.

9. Menggalakkan ahli usrah menyediakan tabung usrah supaya dapat melatih ahli untuk menderma walaupun sedikit dan wang ini boleh digunakan sewaktu kecemasan dan membantu meringankan beban di kalangan ahli usrah.

10. Naqib mestilah juga mahir dalam organisasi jamaah supaya ia dapat memnyelesaikan konflik organisasi dengan cepat.

11. Memastikan aliran maklumat yang perlu disampaikan kepada ahli usrah daripada pimpinan tertinggi dapat salur dengan baik.

12. Sentiasa memantau ahli usrah supaya dapat kita melihat potensi diri yang ada pada ahli usrah untuk diletak dan diberi peranan dalam kepimpinan dan amanah dalam jamaah.

13. Menyelesaikan dengan segera permasalahan yang berlaku tanpa bertangguh, kerana masalah yang kecil jika tidak diselesaikan dengan segera akan mendatangkan masalah yang lebih besar.


Kesimpulan

Perjalanan usrah yang mengikut method yang sebenar akan berjaya melahirkan mereka yang unggul dari segi peribadi dan agresif dalam melaksanakan kerja-kerja jamaah. Perlaksanaan usrah yang berkesan banyak bergantung kepada kehebatan naqib yang mengendalikan usrah , kerana ia adalah tunjang kepada perlaksanaan usrah. Sekiranya perlaksanaannya tidak tepat seperti yang dikehendaki oleh usrah ia tidak akan dapat memberi apa-apa kesan yang baik untuk peribadinya dan juga jamaah. Kelazatan akan dirasai mereka yang mempraktikkan apa yang diarahkan di dalam usrah.

Pelapis ulama PAS 'paling tidak memuaskan'-Naib Presiden PAS ( Mohd Sabu )

Saturday, September 6, 2008

http://www.malaysiakini.com

Barisan pelapis kepemimpinan ulama PAS kini berada dalam keadaan krisis – pengetahuan mereka yang berusia bawah 40 tahun "paling tidak memuaskan" dan tertumpu aspek keagamaan sahaja.

"Saya selalu dengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya, kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya," kata Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada Malaysiakini.

"Masih mengecewakan saya," jelasnya lagi, mengulas prestasi kepemimpinan ulama yang disokong beliau sejak ia diperkenalkan awal 1980-an selepas PAS terpengaruh dengan kejayaan Revolusi Islam di Iran.

Berbeza dengan generasi tua pemimpin ulama parti itu, kata penceramah popular itu, barisan muda lulusan agama dalam PAS sekarang dilatih di negara-negara Arab yang tidak demokratik sehingga menyebabkan mereka hanya bertujuan lulus peperiksaan.

"Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria. Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

"Sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

"(Keadaan) itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini," kata Mohamad sewaktu ditemui di kediamannya di Shah Alam semalam.

"Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan (agama) dari India.

"Jadi di sana, di universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik. (Misalnya) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu."

Bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu menambah, barisan ulama di beberapa negara lain seperti Iran dan Lubnan mempunyai gabungan kepakaran ilmu-ilmu kontemporari dan ilmu agama.

"Kita harap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu. Ertinya, bukan hanya bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam pelbagai bidang.

Mohamad bagaimanapun tetap menyokong kepemimpinan ulama PAS dan berharap pengetahuan barisan ulama parti itu menguasai lebih banyak pengetahuan semasa dan berani mengetengahkan khazanah ilmu Islam untuk diterapkan dalam politik Malaysia.

Beliau enggan mengulas saranan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang berhasrat menganjurkan seminar penilaian semula kepemimpinan ulama seperti ucapan dasarnya di muktamar dewan itu di Ipoh, bulan lalu.


Teks penuh wawancara isu tersebut seperti berikut:

Malaysiakini: Bagaimana Tuan Haji melihat kepimpinan ulama sekarang ini dalam PAS?

Mohamad: Saya setuju kepimpinan ulama diteruskan. Ulama sendiri (bagaimanapun) perlu bersedia menimba ilmu dan berkecimpung dalam hal-hal politik, (kualiti kepimpinan ulama) mesti dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kepimpinan ulama timbul (dalam PAS) selepas Revolusi Iran 1979. Cuma pada waktu itu, kerana (wujud konsep) kepimpinan ulama, pemeriksa kira-kira pun, di peringkat kawasan (PAS), kalau boleh mereka hendak (lantik) seorang ustaz. Itu salah kefahaman di masa itu.

Kepimpinan ulama itu (bermaksud) parti dipandu sepenuhnya oleh sebuah majlis yang dipanggil Majlis Syura. Di peringkat eksekutif, sesiapa pun boleh, asalkan bertaqwa.

Macam kita lihat presiden Iran, boleh (lantik) seorang ulama macam Akbar Hashemi Rafsanjani, Mohammad Khatami - hujjatul Islam.

Boleh juga seseorang yang latar belakangnya seorang guru, seperti Mohammad Ali Rajai atau latar belakang (aktivis pelajar) seperti sekarang ini, (presiden kini) Mahmoud Ahmadinejad.

Jadi, semua mereka ini bekerja bawah satu panduan majlis ulama (Iran).

Kepimpinan ulama, apakah ia masih berkesan atau memerlukan banyak peningkatan?

Perlu banyak peningkatan. Ulama-ulama sendiri, kalau di Iran, mereka kadang-kadang ada kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang perancangan bandar (dari luar negara). Mereka pulang, belajar di Qom (pusat pendidikan agama terulung) tujuh hingga lapan tahun.

Apabila berunding di peringkat antarabangsa, orang tengok seseorang (pemimpin Iran) ini berserban, tetapi latar belakangnya PhD dalam pelbagai bidang.

Misalnya, apabila mereka pergi ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berunding tentang nuklear (kontroversi pembinaan loji antara negara itu dengan Amerika Syarikat), (kalau) kita kata (tertanya-tanya), beliau dari pondok mana?

Padahal beliau seorang (pemegang) PhD yang kemudiannya belajar (di Qom) untuk mengambil peringkat hujjatul Islam. Jadi, ulama-ulamanya sampai ke peringkat itu.

Kita berharap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu.

Ertinya, (mereka) bukan hanya (menguasai) bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam segala bidang. Jadi, kepimpinan ulama perlu dipertahankan tetapi perlu peningkatan.

Masalah utama sekarang, ulama kita tidak akses ilmu-ilmu luar (bukan agama)?

Ya, ia perlu. Kerana kegagalan-kegagalan gerakan Islam, saya nampak, antaranya garis panduan dan dasarnya tidak kuat. Jadi, dasar itu mestilah kuat, (dan) dipegang orang yang begitu hebat.

Tetapi di peringkat eksekutif, mungkin doktor, mungkin seorang ustaz, mungkin seorang ulama, tetapi mereka yang mengetahui serba-serbi untuk mempertahankan dasar-dasar Islam.

Di muktamar Pemuda PAS, (ketuanya) Salahuddin Ayub menyebut dalam ucapan dasarnya, kepimpinan ulama perlu "penilaian semula." Jadi, sebenarnya apa masalah utama?

Macam saya sebut tadi...

Masalah akses ilmu?

Masalah akses ilmu. Apabila seseorang itu mendapat PhD dalam syariah. Bagi orang kita, orang Malaysia ini, (kelulusan) macam itu dikira tamat pengajian. Tetapi bagi orang lain, (kelulusan) itu hanya satu permulaan. Dia akan belajar lagi dan duduk di satu tempat (untuk mendalami lagi ilmu).

Sejauh mana seriusnya masalah ini (dalam PAS)?

Kita kena terus mendesaklah. Kita berharap generasi ulama muda akan memainkan lebih peranan.

Misalnya kita bercakap (soal) peradaban Barat, etika Barat, ulama berkata kita mesti arif tentang perkara-perkara ini. Sebab, kalau kita ingin melawan Barat ini, ... sedangkan etika (Islam) kita yang lebih baik tidak kita terjemahkan, ...

Tuan Haji melihat kebangkitan ulama muda ini, tokoh-tokohnya?

Masih mengecewakan saya. Misalnya saya ambil contoh sekarang. Yang menonjolkan (idea) hendak memerintah mengikut cara (khalifah Islam) Umar Abdul Aziz, (ketua menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng. Kenapa?

Sebab beliau tahu bagaimana (keadilan) pembahagian kekayaan antara harta kerajaan dengan harta peribadi – yang juga disebut oleh (menteri besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khazanah (ilmu) Islam ini yang ulama kita perlu tonjolkan -- pemerintahan yang baik pada masa akan datang.

Nampaknya tokoh-tokoh ulama dalam PAS, yang muda-muda ini...

Kurang menonjolkan perkara-perkara seperti ini.

Dan kurang berkualiti jika dimaksudkan dengan yang lama maksudnya?

Kalau dibandingkan dengan ulama kita, bukan soal pakaian maksudnya. Kalau kita bandingkan dengan (pemimpin Hizbullah di Lubnan) Hassan Nasrullah.

Bagaimana dengan serbannya itu beliau dapat memikat semua kumpulan – Kristian Druz, Sunni, Syiah, semua menghormatinya, pemikirannya dan kepimpinannya.

Ulama-ulama seperti ini yang saya hendak lihat muncul. Setakat ini saya...

Tidak ada? Kurang?

Hendak kata tidak ada... Itulah, paling tidak memuaskan.

Tuan Haji sebut kepimpinan ulama perlu peningkatan, tetapi Salahuddin menyebut "penilaian semula".

Itu pendapat peribadi beliau. Saya nampak begitu (seperti dijelaskan di atas).

Saya selalu mendengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya.

Antaranya Tuan Haji?

(Ketawa) Tidak boleh sebut namalah. Saya sebut secara umum. Jadi, saya nampak peningkatan itu ... (sangat kurang)

Mereka ini dapat lingkungan umur?

Bawah 40 tahun.

Mereka ini kurang (kewibawaan) berbanding ulama berumur atas 40 tahun?

Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria.

Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

Tidak ada demokrasi, lebih teruk daripada (demokrasi) Malaysia.

Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan dari India.

Jadi di sana itu, universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik.

Lepas itu mereka balik. Misalnya (pemimpin PAS) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu.

Tetapi sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

Itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini.

Istilah "penilaian semula" yang digunakan (Pemuda PAS) itu berat dan serius. Sebab, menilai semula boleh bermaksud menolak atau menerima (kepemimpinan ulama).

(Perkara) itu kena tanya Ketua Pemuda. Bagi saya, dasar itu sudah elok. Majlis Syura itu semuanya sudah elok. Cuma peningkatan perlu dibuat.

Apakah (kenyataan) ini menunjukkan Pemuda PAS tidak selesa dengan kepimpinan ulama?

Saya tidak mahu komenlah perkara itu. (Ketawa kecil) Kena tanya Salahuddin sendiri perkara itu.

Adakah kepimpinan ulama ini lebih mirip kepada pendekatan Syiah? Kalau dalam (politik) Sunni, perkara ini tidak berapa jelas.

Saya tidak nampak (isu) mazhab di situ. Sebab dunia Sunni ini, dan dunia Islam ini, kita tengok apabila kita merdeka, kembali kepada kediktatoran sebab garis panduan tidak ada. Masa revolusi itu, bagus, tetapi ia kembali kepada (pemerintahan) diktator.

Macam (bekas presiden Iraq) Saddam Hussein, sediakan anaknya (sebagai pengganti). Kemudian (bekas presiden Syria) Hafiz al-Asad, juga mewariskan (kuasa) kepada anak dia.

(Presiden Libya) Muammar Gaddafi juga sedang menyediakan anaknya (sebagai pengganti).

Dan kita balik kepada (kedikdatoran) itu. Dan kita lihat, di negara-negara orang Islam, imejnya (demokrasi) tidak ada sebab garis panduannya tidak ada.

Dalam kepimpinan ulama kita, dasar ini (demokrasi) saya pegang sungguh-sungguh. Tetapi saya kata, pengisiannya itu.

Kalau (kepemimpinan ulama) itu kita kata (pendekatan) Syiah, dalam negara Sunni, manakah modelnya yang hendak kita tonjolkan?

Maknanya (kepemimpinan ulama) merentas aliran?

Maknanya merentas aliran. Jadi, dasarnya tidak salah. Yang saya sebut ini, pengisiannya itu.