PRA - SYARAT KEBANGKITAN PEMUDA PEMUDI ISLAM

Friday, November 21, 2008


Ketahuilah wahai para pemuda pemudi Islam, bahawa dalam sejarah kebangkitan bangsa-bangsa, pemuda pemudi selalu memiliki peranan yang besar dan strategik, kerana untuk menuju kebangkitan bangsa diperlukan daya kekuatan berupa keyakinan yang kuat, ketulusan, semangat yang jujur, kesungguhan dalam kerja dan pengorbanan.

Dalam hal ini pemuda - pemudilah yang berpotensi untuk itu, kerana pemuda adalah simbol hati yang masih jernih sehingga memiliki keyakinan dan iman yang kuat, kejujuran yang memungkinkan untuk memiliki ketulusan dan keikhlasan dalam beramal, serta semangat yang menggebu yang memungkinkan untuk beramal dengan sungguh-sungguh dan penuh dengan pengorbanan.

Firman Allah SWT :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Al-Kahf : 13 – 14)

Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerak kerja Islam.

Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.

Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah).

Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.

Antara syarat-syarat tersebut ialah:

Syarat Pertama

Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.

Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.


Syarat Kedua


Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (reality) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.

Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan. Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).

Syarat Ketiga

Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai jamaah dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dn ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.

Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Syarat Keempat

Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’.

Islam bukanlah merupakan ad-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin (golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).

Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dan ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.

Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan.

Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda. Tanggungjawab berat yang dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).

Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim (penyusunan) yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk tanzim ‘amal jama’i(penyusunan gerak kerja secara berjamaah).

BEBERAPA NOTA PERSIAPAN SEBAGAI AHLI GERAKAN

Wednesday, November 19, 2008

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). ( Surah Al – Anfal : 60 )

1. KEFAHAMAN

 Said Hawa pernah berkata di dalam bukunya Al – Islam :
Maksudnya : “ Kefahaman itu adalah permulaan untuk semua perintah dan larangan”

 Imam Al – Syahid Hassan Al – Banna berkata : “Perkara yang saya maksudkan dengan faham ialah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah Islam yang tulin”. Faham juga merupakan rukun baiah yang pertama.

 Memahami dengan mendalam matlamat perjuangan organisasi,dasar – dasarnya, memahami liku – liku perjuangan, uslub atau pendekatan yang telah ditentukan serta mengenali kawan dan lawan.


2. KETAKWAAN

 Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

 Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat

 Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas )

 Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”

Martabat Taqwa

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”. ( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).” ( Surah Ali Imran. Ayat : 102

 Sifat ini perlu dihayati oleh semua ahli jamaah kerana anggota jamaah adalah “penterjemah amaliyyah” kepada dasar yang diperjuangkan

3. KEPATUHAN ( KETAATAN )

 Imam Bukhari meriwayatkan daripada Syaidina Umar Al – Kattab :
Maksudnya : Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah dan tidak sempurna jamaah tanpa pimpinan dan tidak ada ertinya kepimpinan tanpa ketaatan”

 Ketaatan kepada kepimpinan, kepatuhan kepada arahan organisasi adalah satu daripada kunci kejayaan amal jamaa’i.

 Ahli gerakan mestilah bersedia ditarbiyah sehingga menjadi “jundi” yang ikhlas dalam perjuangan.

Petanda Ikhlas seorang pejuang

1. Niat yang jelas
2. Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan
3. Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran
4. Tidak bermain dengan alasan
5. Bersedia menerima arahan
6. Prihatin terhadap organisasi
7. Menjaga rahsia organisasi

4. DISIPLIN ( INDHIBAT )

 Kehampiran seseorang individu dalam melaksanakan gerak kerja yang dituntut daripadanya sekadar termampu secara tepat, dengan syarat pelaksanaan kerja itu berlaku di dalam waktu yang ditetapkan dan kerja tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan menyeluruh kepada sesuatu kerja.

 Walaupun sesuatu organisasi itu memiliki banyak unsur kebaikan, tetapi ia akan menemui kegagalan jika tiada disiplin dan kerjasama dikalangan ahlinya.

5. UKHUWAH

 Ukhuwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah.

 Merupakan kurniaan dan pemberian daripada Allah yang dilontarkan –Nya kedalam hati – hati hambanya yang ikhlas dan suci.

“ Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka ( yang beriman itu ). Kalaulah engkau belanjakan segala ( harta benda ) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Ia maha kuasa lagi Maha bijaksana”
( Surah al – Anfal : 63 )

 Rukun Baiah yang ke – 9

 Serendah – rendah ukhuwah ialah berlapang dada dan setinggi – tinggi ukhuwah adalah ithar

Syarat – Syarat Ukhuwah

1. Dibina berdasarkan keikhlasan kepada Allah
2. Disertai dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
3. Melazimi diri dengan manhaj Islam
4. Mempraktikkan nasihat menasihati
5. Melaksanakan konsep tolong menolong samada susah ataupun senang.


RUJUKAN
1. Hj. Yahya Othman. ( 2006 ). AMAL JAMA’I (Pengertian dan Tuntutannya ).Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
2. Muhammad Abdullah Al –Khatib. ( 2001 ). Penjelasan di sekitar Risalah Ta’alim. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
3. Hj. Nasruddin Hj. Hassan at – Tantawi. ( 2001 ). Pra Syarat kemenangan Kita. Pahang Darul Makmur. Usrah As – Syabab.
4. Dr. ‘Adil Syuwaikh. Indhibat ( Disiplin )