MENTERJEMAHKAN TARBIYYAH MELALUI PERJUANGAN DALAM PRK

Sunday, August 17, 2008

Perang Uhud

Perang Khandak

Perang Tabuk

Perang Badar

Perang Hunain

Perang Pilihanraya Kampus?

“Wahai orang-orang beriman!Mengapa apabila dikatakan kepada kamu,..’Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,’kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat?Padahal kehidupan di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan di akhirat) hanyalah sedikit”

AT-TAUBAH : 38

Ini Medannya

Ketika meniti jendela pilihanraya kampus saban tahun, pasti tercuit perasaan ini tatkala mengenang kembali suasana itu….maka terbayanglah wajah-wajah calon yang akan bertanding, pencadang, penyokong dan jentera masing-masing yang bertungkus-lumus setiap masa tanpa mengira lagi apa jua risiko yang akan dihadapi. Tatkala itu memang tinggi sungguh tawakkal pada Allah swt dan segala pengharapan disandarkan secara total kepada ALLAH s.w.t.

Boleh dikatakan pilihanraya kampus menjadi bukti kepada kekuatan & pengorbanan masing-masing. Tanpa tajaan, tanpa pengaruh luar dan tanpa jaminan keselamatan penggerak itu sendiri telah menjadikan sahabat-sahabat kita berjuang sungguh-sungguh. Tenaga digembeling sepenuhnya, duit dikumpul habis, masa diperuntukkan betul-betul dan idea diperah sehingga hampir kering.

Sepanjang gerak kerja pilihanraya itu juga lagu-lagu jihad dan rancak dikumandangkan hampir setiap masa untuk merangsang semangat yang luar biasa. Alunan Al-Quran juga diperdengarkan kerana perjuangan yang dilakukan berkait rapat dengan konsep aqidah dan Islam. Jika tujuan selain itu saya pasti gerak kerja sepanjang pilihanraya kampus ini takkan semantap itu. Kerana aqidah lah kita berjuang, kerana kewajibanlah kita bertahan dan kerana Allah itu matlamat akhirlah kita melakukan semua ini. Bukankah begitu?

Apa itu tarbiyyah?

Wahai sahabat-sahabat sekalian….!

Apa yang kalian faham tentang tarbiyyah? “ Ukhti, tarbiyyah itu adalah didikan…Bagaimana nak didik diri ke arah jalan yang diredhai ALLAH s.w.t…” luah seorang teman pada suatu petang..Seorang teman yang lain pula mengatakan bahawa tarbiyyah itu merupakan satu proses didikan yang dikenakan kepada diri kita yakni dengan meletakkan syariat ( undang-undang atau peraturan ) bagi memastikan kita mendapat hasil yang ditetapkan. Apabila soalan ini turut diajukan kepada pelajar-pelajar tahun satu ada di kalangan mereka menyatakan tarbiyyah itu adalah didikan yang mantap untuk melakukan ibadah harian. Melalui ketiga-tiga pendapat ini ternyata persepsi tarbiyyah dikupas agak berbeza mengikut pandangan masing-masing.

Menurut Ust Zaharudin, pakar ekonomi Islam, beliau menyatakan tarbiyah merupakan satu pendekatan sepadu, bagi mendidik jiwa manusia ke arah cara hidup yang lebih praktis dengan pengamalan Islam yang sering diabaikan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi untuk menghubungkan manusia dengan maha Pencipta, ia juga bermatlamat untuk melahirkan manusia yang sanggup berkorban bagi memperkasa agama Allah agar ia dirasakan lebih agung dari pegangan dan ajaran ciptaan manusia.

Para ulama’ telah membahagikan konsep tarbiyah kepada beberapa bahagian :

- Tarbiyah Ruhiyyah/Nafsiyyah (Pendidikan Kerohanian/Kejiwaan )

- Tarbiyah Jasmiyyah (Pendidikan Fizikal)

- Tarbiyah Imaniyyah ( Pendidikan Keimanan)

- Tarbiyah Aqliyyah (Pendidikan Mental)

- Tarbiyah Akhlaqiyyah (Pendidikan Akhlak)

- Tarbiyah Fikriyyah (Pendidikan Ketajaman Cara Berfikir)

- Tarbiyah Iqtisadiyyah (Pendidikan Kemantapan Ekonomi)

- Tarbiyah Siasiyyah ( Pendidikan Memperkasa Politik) dan lain-lain.

Tarbiyyah yang mantap

Di suatu ketika, pernah seorang anak murid saya yang berada di tahap satu(7tahun) mempamerkan tarbiyyah yang telah mencairkan hati ini. Namanya Rabiatul Adawiyah. Duduknya di kelas satu Umar Al-Khatab,kelas yang agak lemah dan menimbulkan banyak ‘dugaan’ kepada semua guru. Jadi apa yang telah saya saksikan ini betul-betul di luar dugaan kerana sangkaan saya anak-anak kelas ini lambat sedikit pemahamannya terhadap solat dan keutamaannya. Nak dijadikan cerita, pada ketika itu dia pening kepala dan menangis tersesak-esak. Jadi saya telah membenarkan dia rehat dan tidur di dalam kelas. Dia juga tidak perlu turun ke dewan untuk solat zohor secara berjemaah. Saya telah ke bilik guru seketika untuk satu urusan dan setelah saya kembali ke kelasnya, kelihatan dia sedang menunaikan solat zohor dengan memakai baju sekolah ( baju sekolah di sini berjubah hijau gelap dan tudung putih) sambil beralaskan lantai kelas ( pelajar- pelajar tidak dibenarkan memakai kasut ke kelas) dan menghadap kiblat. ..”Pandai pula dia mencari arah kiblat walhal tak pernah mereka semua solat dalam kelas…”bisik hati ini. Termenung saya seketika kerana sangkaan saya jauh meleset. Dia ternyata telah membuktikan bahawa susah macam mana pun, sakit macam mana pun, walau di mana pun solat itu perlu didahulukan. Dia tahu pentingnya solat dan yang penting dia takut untuk meninggalkan solat walaupun solat fardhu belum lagi diwajibkan ke atasnya. Subhanallah, Maha Suci Allah..segala puji hanya untuk Alllah swt…

Nah, sahabat-sahabat! Kita bagaimana pula? Ada ke kita sampai ke tahap itu? Dengan kematangan yang ada, dengan ilmu dan pengetahuan yang ada?

Hai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS. 2:153)

Bagi saya, tarbiyyah itu satu perkara yang boleh membentuk kita menjadi seseorang atau somebody kata orang putih. Macam Rabiatul tadi, tarbiyyah dalam kepentingan solat telah menjadikan dia begitu. Istiqomah dia dalam menunaikan solat telah menjadikan dia cukup serba salah jika meninggalkannya. Cara hidup kita,kefahaman dalam ilmu agama kita, bagaiamana amalan kita dan rupa hati kita ternyata dapat diterjemahkan ke dalam urusan kita seharian.

Tiada jalan mudah

Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (QS. 18:28)

Masih ingat kisah Nabi SAW yang kita kasihi dan rindui itu dibaling dengan batu oleh penduduk Thaif yang ternyata benci dengan dakwahnya? Kisah si buta di sebuah pasar yang asyik mengutuk dan mencerca Nabi SAW sedangkan si buta ini tidak menyedari yang selalu menyuapkan makanan ke dalam mulutnya adalah Nabi SAW sendiri? Atau ingatkah lagi kalian semua kisah Nabi SAW dibaling dengan najis oleh seorang wanita yang setiap kali Nabi Muhammad SAW melintasi rumah wanita terbabit, tetapi akhirnya wanita itu tadi jatuh sakit dan Nabi Muhammad SAW jugalah yang pertama sekali menziarahinya? Semua kisah ini telah menjadi bukti betapa teruknya kaum Yahudi membenci Islam dan ajarannya. Itu Nabi SAW sendiri yang dikenali sebagai seorang yang mulia dan Al-Amin tetapi tetap dibenci dan diperlakukan sedemikian rupa oleh golongan kuffar.

Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah sukarnya jalan yang kita pilih sekarang ini. Jalan perjuangan yang hendak mengangkat hanya syariat ALLAH swt yang patut berada di atas. Itu kisah yang sedikit daripada ribuan kisah suka duka NABI saw dan perjuangannya termasuklah dipinggirkan dan ditentang secara hebat oleh bapa saudaranya sendiri. Jika Nabi SAW melalui jalan yang sukar untuk menegakkan Islam, maka apatah lagi kita sbagai ummatnya.

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar. (QS. 3:142)

PRK adalah medan tarbiyyah

Pilihanraya kampus adalah satu fasa pemilihan pemimpin untuk menerajui kepimpinan pelajar kampus. Ia dijalankan secara pemilihan undian melibatkan semua pelajar. Sesiapa sahaja layak untuk bertanding selagi mana memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dan pihak universiti masing-masing. Lain kampus lain syaratnya.

Sesiapa yang pernah terlibat dengan gerak kerja pilihanraya kampus pasti merasai betapa sukarnya melalui fasa ini. Letih, penat, kesuntukan masa, tertekan, dicabar , diugut dan ujian-ujian lain yang sebaris perit dengannya. Mana tidaknya dengan prosedur sebelum layak bergelar calon sehingga ke hari pengundian adalah berselang-seli dengan kuliah yang agak padat, ujian asas universiti dan rutin harian sebagai pelajar kampus. Bukan sedikit tetapi banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Ujian Bulan Ogos pelajar kampus terutama kepada kelompok pro-mahasiswa seperti inilah. Mereka diuji emosi, perasaan, kesabaran, dan kematangan

Keutuhan ibadah kepada Allah swt telah melahirkan jiwa-jiwa yang kental…

Keyakinan kepada Allah swt telah melahirkan jiwa-jiwa yang rela berkorban…..

Keikhlasan berama kepada Allas swt telah melahirkan jiwa-jiwa yang ada daya tahan….

Sesungguhnya, saya amat menyanjung tinggi dan kagum memerhatikan beberapa orang daripada sahabat-sahabat kita yang ternyata kuat sabarnya untuk bertahan sepanjang melalui saat ini. Mereka langsung tidak mengharapkan balasan dan pujian daripada sesiapa tetapi bukti kecintaan kepada Allas swt telah mereka terjemahkan secara rapi sepanjang tempoh ini.

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui padamu bahwa ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang; dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS. 8:66)

Penutup

"Setiap kesulitan itu akan bertambah apabila dihitung-hitung tetapi akan hilang apabila kita tidak menghiraukannya lagi..."
-Imam Malik-

0 comments: